Thursday, May 6, 2010

Adakah Orang Asal Sabah akan Senasib dengan Orang Red Indian??



�Di mana suku kaum Pequot hari ini? Di mana suku-suku Naragansett, Mohican, Pokanoket dan banyak lagi puak yang kuat di kalangan kaum kita? Mereka semuanya telah lenyap akibat sikap haloba dan penindasan oleh orang kulit putih, bak salji dibakar mentari musim panas.� - Tecumseh, ketua suku Shawnee, kaum Red Indian di Amerika Syarikat

Ibu dan anak yang menyusu ditembak mati. Kanak-kanak disembelih. Yang lemah diburu dan dibunuh dengan kejam. Tebing Sungai Wounded Knee yang diselaputi fros menjadi merah disimbah darah.

Tiga ratus lelaki, wanita dan kanak-kanak kaum Red Indian suku Sioux, termasuk ketuanya yang tua dan sakit Chief Big Foot terkorban pada hari terciptanya sejarah keganasan dan kekejaman tersebut.

Tarikh 29 Disember 1890 adalah detik hitam berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Wounded Knee. Tanpa segan silu, Kavalri Ketujuh Tentera Darat Amerika Syarikat menggambarkan insiden itu sebagai suatu �pertempuran�. Biarpun pasukan pengecut ini telah melakukan jenayah besar, 18 daripada mereka dikurnia oleh Kerajaan Amerika anugerah keberanian tertinggi.

Wounded Knee menandakan berakhirnya �Peperangan Indian�, konflik berdarah dan ganas yang menjerumuskan penduduk asli Amerika yang mempertahankan tanahair daripada perompak dan penjajah bangsa Eropah.

Ia melambangkan penaklukan mutlak ke atas penduduk asli; sebahagian besar suku kaum penduduk asli ini dimusnahkan manakala yang lain dipinggirkan ke kawasan penempatan menyerupai taman kehidupan liar di Afrika.

Kisah ini bermula pada 1492 apabila Christopher Columbus, pengembara Itali yang belayar atas nama Raja Sepanyol, berlabuh di sebuah pulau di benua Amerika dan �menemui Dunia Baru�.

Penduduk pulau berkenaan yang Columbus gelar sebagai Indios (asal nama Red Indian), melayan beliau dengan penuh penghormatan sebagai tetamu. Columbus membalas layanan tersebut dengan menculik 10 orang daripada mereka yang dihantar ke Sepanyol dan seorang maut dalam perjalanan.

Dalam tempoh kurang satu dekad, penjajah bangsa Sepanyol yang berduyun tiba mencari emas dan galian lain memusnahkan kaum asli ini dan menjual yang lain untuk dijadikan hamba.

Demikianlah sejarah penemuan �Dunia Baru� dimuatkan dengan kisah-kisah kekejaman dan keganasan yang didiominasi pada awalnya oleh penjajah Eropah berketurunan Sepanyol. Hernan Cortes, seorang conquistador (penakluk) awal dari Sepanyol, dengan kejamnya merampas kawasan yang kini dikenali sebagai Mexico pada tahun 1518 dan melenyapkan masyarakat asal tempatan, suku kaum Aztec.

Tiga belas tahun kemudian, Francisco Pizarro diberi jolokan conquistador paling ganas semasa menakluk wilayah yang kini dikenali sebagai Peru sehingga memupuskan kaum Inca yang memerintah sebahagian besar Amerika Selatan.

Penjajah bangsa Eropah yang lain terutama Belanda, Inggeris, Perancis dan Portugis, turut muncul dengan perwatakan yang sama.

Pada 1641, askar-askar Belanda yang berkhidmat di bawah koloni penjajah menyerang dua perkampungan suku kaum Raritan di Pulau Staten (dekat kawasan yang kini dikenali sebagai New York); lelaki, wanita dan kanak-kanak yang sedang tidur ditikam sebelum tubuh mereka dikelar dan dicincang.

Orang-orang Inggeris walaupun dikata lebih sopan tetapi tidak kurang kejamnya. Semasa tiba di Virginia pada 1607, mereka mendirikan jajahan yang dikenali sebagai Jamestown.

Untuk menguasai penduduk asal dari suku Powhatan, mereka memahkotakan seorang penghuni bernama Wahunsonacook sebagai raja. Kesetiaan Wahunsonacook kepada Inggeris bertambah apabila pendatang Inggeris John Rolfe mengahwini puterinya, Pocahontas, kisah perkahwinan yang kini diabadikan dalam buku dan filem.

Selepas kematian Wahunsonacook, suku Powhatan memberontak menentang pencerobohan Inggeris dan berakhir dengan pemusnahan kejam penduduk asal dalam sekelip mata sahaja.

Sesungguhnya, penghapusan penduduk asal bukan hanya berleluasa tetapi pembunuhan dilakukan secara kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ramai penduduk asli bukan sahaja dibunuh tetapi bahagian atas kepala mereka turut dicantas dalam perbuatan yang dikenali sebagai scalping.

Perbuatan yang dianggap Red Indian sebagai tidak berperikemanusiaan itu diperkenalkan oleh pendatang Sepanyol. Pada mulanya, scalping hanya berlaku di antara kaum Indian dan pendatang awal dari Eropah. Kemudiannya scalping menjadi amalan tentera penjajah yang bertempur dengan penduduk asal terutama suku Navaho.

Untuk membuktikan keperwiraan mereka, tentera penjajah mencantas bahagian atas kepala pejuang Navaho yang terkorban bersama dengan simpulan rambut yang berikat tali berwarna merah.

Siapa yang memulakan scalping masih samar tetapi penjajah Sepanyol, Inggeris, Belanda dan Perancis mempopularkannya dengan menawarkan hadiah yang lumayan ke atas kulit kepala kaum Indian.

Bagi mewajarkan dominasi dan layanan mereka terhadap penduduk asal Amerika, kepimpinan kolonial mencipta doktrin yang dipanggil �Manifest Destiny�.

Menurut doktrin itu, bangsa Eropah lebih hebat dan bertamadun, maka mereka berhak dan bertanggungjawab untuk memerintah penduduk asal yang dianggap buas dan kuno. Bangsa Eropah ditakdirkan untuk memerintah seluruh benua Amerika.

Tetapi ini hanya muslihat untuk mewajar serta memuliakan sifat haloba pendatang Eropah kepada tanah dan wilayah, menurut pengarang Dee Brown dalam bukunya mengenai sejarah kaum Indian, �Bury My Heart at Wounded Knee.�

Doktrin Manifest Destiny dijadikan alasan menghalalkan pencerobohan demi pencerobohan kawasan yang dipersetujui sebagai �wilayah tetap Indian� dalam perjanjian-perjanjian antara pendatang dan penduduk asal.


No comments:

Post a Comment